Thursday, March 8, 2007

Kerana Cinta...

Kerana cinta
Adam tersingkir dari syurga
Hawa terpisah daripada kekasihnya

Kerana cinta
Manusia menjadi khalifah di bumi Allah
Diberi amanah mentadbir dunia
Diangkat kekasih Allah
Sebagai utusan agung-Nya

Kerana cinta
Maka adanya ummat yang istimewa
Adanya syafaat dan karamah yang membela
Janji Tuhan..
Tiada yang akan menghuni syurga
Sebelum ummat kekasih-Nya berkunjung tiba...

Kerana cinta
Dua hati bersatu
Lalu membina mahligai bahagia
Bersendi kasih dan sayang
Menyambung zuriat pewaris iman
Mencari redha Tuhan dalam segenap kesamaran..

Kerana cinta
Aku di sini
Mencari keredhaan yang tidak putus-putus
Melayari samudera harapan
Yang penuh dengan cabaran...

Kerana cinta aku ke mari
Mendamba kasih-Mu Ya Rabbi
Lalu aku berserah
Kerana sesungguhnya
Kaulah yang lebih mengerti
Apa yang mungkin kukecapi
Hanya kerana cinta di hati......


Syahidatul Khafizah Mohd Hajaraih
UPM Serdang
Oktober 6, 2006

**Puisi yang terbaca oleh warga kerja MHI, Fedtri...

Tuesday, March 6, 2007

Keluarga, kekasih dan teman...

Alhamdulillah...aku masih lagi bernafas di bumi Tuhan nan indah ini...menghirup udara yang terus memberi aku peluang hidup sehari lagi...Kehidupan masih tak banyak berubah, cuma kesibukan menggalas tanggungjawab sebagai seorang anak, kakak, kekasih dan pekerja ada kalanya membuat aku sedikit kelesuan...Namun itu bukan alasan menidakkan kesempurnaan dalam pekerjaan....

Keluarga tercinta...seperti biasa masih terus memberikan sokongan buatku menempuh hari yang semakin mencabar. Merekalah nadi yang terus berdenyut dalam tubuhku. Tanpa mereka bagaimana harus kutempuh kehidupan ini dengan segenap kesunyian? Perselisihan faham adalah sesuatu yang rutin namun ia tidak pernah menggugat kasih sayangku yang terpatri...

Kekasih di hati masih yang satu...Kami sedang berusaha membina kehidupan yang lebih sempurna. Sebelum aku rasmi menjadi miliknya maka segenap kehidupannya adalah hak miliknya yang mutlak...Namun aku akan merasa berbesar hati andai dilibatkan sama dalam keputusannya, walaupun aku tahu baginya itu bukanlah suatu perkara yang mudah...Pun begitu, tak pernah aku berhenti berharap semoga dia mengerti...Dan doaku yang tulus masih lagi kukarang buatnya....
Teman-teman...ramai yang semakin jauh....Di mata namun bukan di hati...Kekangan masa membataskan pertemuan yang lazimnya menjadi makanan jiwa yang paling mengenyangkan...Namun aku faham, transisi kehidupan bukanlah sesuatu yang boleh kita tentukan...Kita hanya mampu merancang namun Allah SWT lebih bijak mencorak keputusan...Pun begitu, tidak sekali aku berhenti berusaha mengadakan perancangan terbaik dalam setiap fasa kehidupan, selain itu, berserah dan bertawakkallah...

Teman baru semakin tak terkira...tugas yang mengkehendaki aku berinteraksi secara meluas membuka ruang aku menambah rakan., yang pelbagai ragam dan ceritanya... Baru aku tersedar, aku semakin dewasa meniti usia... Bukan lagi gadis comel yang dibenarkan membuat kesilapan demi suatu pelajaran... Akauntabiliti yang tergalas di batu jemala ini bukanlah kecil muatannya...Bersediakah aku untuk memikul bebannya?

Keluarga, kekasih dan teman...3 elemen yang mencorak kehidupanku semenjak dahulu. Mereka ibarat bunga, daun dan tangkai yang tak mampu kupisahkan. Andai dicarik jua, maka layulah bunga, matilah daun dan keringlah tangkai yang tidak berdosa....Lalu aku terus berdoa lagi...semoga kasih Tuhan melimpah pada mereka...kerana mereka wajar mendapatnya atas kasih sayang yang telah mereka ikhlaskan buatku...hanya buatku...